Presiden UMNO

Presiden UMNO

Calon BN N11

Calon BN N11

Blog UMNO Ketereh

Arkid

Wawancara Mingguan Malaysia Bersama Annuar Musa

Ahad, 19 Oktober 2008


Didalam Mingguan Malaysia Ahad 19 Oktober 2008, wartawan Zulkiflee Bakar menemubual Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Antara intipati wawancara, Annuar Musa menjelaskan kenapa beliau tidak mahu bertanding bagi kerusi Naib Presiden dan juga keenggananya mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi. Annuar Musa juga mengulas mengenai situasi semasa dalam politik UMNO.

Apa yang perlu diberi perhatian disini ialah ulasan Annuar Musa mengenai Pergerakan Pemuda dan Puteri di Kelantan. Mungkin Annuar Musa merujuk kepada apa yang berlaku didalam bahagian Ketereh dimana katanya, Pemuda dilihat sudah tidak lagi menjadi juara kepentingan Melayu seperti memperjuangkan masalah kemiskinan, kekurangan tanah milik orang Melayu dan isu pendidikan.

Tan Sri Annuar Musa juga mempersoalkan kenapa kurangnya anak muda menyertai pergerakan Pemuda UMNO malah anak muda dilihat memandang sinis pergerakan Pemuda UMNO.

Tidak dinafikan kelangsungan perjuangan UMNO adalah bergantung kepada keinginan orang muda menyertainya. Usaha yang bijak dan berlandaskan keinginan orang muda wajar diperhalusi dan dipertimbangkan dalam usaha menarik minat mereka menyertai pergerakan Pemuda UMNO.

Oleh itu Pemuda UMNO Ketereh dengan saf kepimpinan yang baru tidak lesu dan tidak mementingkan diri sendiri dalam memartabatkan perjuangan bangsa Melayu dan agama di negara kita amnya di peringkat bahagian Ketereh.

1 ulasan:

semut berapi berkata...

Jika disingkap, peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan muda boleh menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.

Sejarah telah merakamkan nama-nama anak muda yang hebat seperti Muhammad Al Fateh yang telah membuka Kota Konstantinopal ketika berusia 21 tahun dan Usamah bin Zaid yang hanya berusia 18 tahun semasa memimpin bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Jelasnya transformasi sesebuah masyarakat dan tamadun didukung kuat oleh generasi muda. Menyongsong sejarah negara kita, tokoh-tokoh tanah air seperti Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Ghaffar, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani juga tergolong dalam kumpulan berusia muda ketika mereka memperjuangkan kemerdekaan dan mewarisi negara yang berdaulat. Menariknya, pada masa itu kebanyakan mereka berada dalam lingkungan umur 20-an dan awal 30-an.

Malangnya kini, generasi muda yang sepatutnya menjadi barisan hadapan, begitu mudah terpengaruh dengan asakan-asakan negatif. Ramai yang hidup penuh hedonistik tanpa bertunjangkan agama, budaya mahupun adat. Realitinya juga kita berhadapan dengan masalah keciciran persekolahan, najis dadah, HIV Aids, mat rempit, leka dengan hiburan melampau yang mencabar keteguhan akidah anak-anak muda. Kesemuanya ini amat menyedihkan dan mencerminkan minda kelas ketiga. Hal kebejatan sosial ini menjadi antara faktor utama yang merendahkan taraf dan merugikan kita sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab UMNO membendung permasalahan tersebut dengan memacu minda generasi muda ke arah pemikiran baru dan sikap yang positif. Program-program kreatif yang memupuk nilai-nilai murni di kalangan anak-anak muda perlu dilaksanakan oleh semua organisasi. Inilah pelaburan bijak demi kebaikan masa hadapan agar pencapaian umat Melayu ditingkatkan dan kegagalan Melayu dikurangkan.

Kepada generasi muda, usah bertanya sumbangan negara kepada anda yang sememangnya telah banyak dilimpahkan. Jadilah anak-anak muda yang berjasa kepada negara, berkhidmat dengan penuh semangat. Di atas segalanya, apa yang kita usahakan adalah untuk memastikan bahawa generasi pewaris negara kelak bukan zuriat yang lemah sebaliknya merupakan satu generasi yang kuat dan berwibawa.