Presiden UMNO

Presiden UMNO

Calon BN N11

Calon BN N11

Blog UMNO Ketereh

Arkid

Barisan baru jawatankuasa Pemuda Umno

Isnin, 13 April 2009

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, hari ini mengumumkan barisan jawatankuasa pengurusan Pemuda Umno yang baru.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Megat Firdouz Megat Junid dilantik sebagai Penolong Setiausaha menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan manakala Datuk Rozabil Abd Rahman sebagai Penolong Bendahari menggantikan Datuk Hamid Nazahar.

Datuk Reezal Merican Naina Merican pula dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Azimi Daim manakala Setiausaha Kerja ialah Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggantikan Shahrul Zaman Yahya.

"Semoga mereka yang dilantik ini akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi bagi memastikan usaha mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya golongan muda kepada Umno dan BN menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas dan majlis angkat sumpah jawatan Pemuda Umno di sini hari ini.

Beliau berkata, Pemuda Umno juga merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang telah memimpin dan meletakkan Pemuda Umno pada tahap terbaik untuk diwarisi oleh kepimpinan baru dan kepada keempat-empat pemegang jawatan sebelum ini atas sumbangan mereka kepada pergerakan itu.

Mengenai senarai anggota Exco pergerakan itu, Khairy berkata beliau akan mengumumkannya setelah berbincang dengan semua ketua badan perhubungan Umno negeri.

"Saya perlu berbincang dengan ketua-ketua perhubungan Umno peringkat negeri bagi mendapatkan persetujuan mereka mengenai individu yang sesuai untuk dilantik sebagai Exco," katanya.

Khairy juga berkata, bagi memantapkan organisasi Pemuda Umno, satu program Khemah Kerja selama tiga akan diadakan bermula 1 Mei yang akan membabitkan semua Exco dan Ketua Pemuda negeri.

Katanya, antara pengisian program itu ialah pertukaran idea serta perbincangan secara terbuka mengenai cara terbaik dalam pembentukan biro dan unit lain dalam Pemuda Umno. - Bernama

0 ulasan: